Perutusan Ketua Wanita Pertubuhan IKRAM Malaysia | Hari Guru 2016

0
296

PERUTUSAN KETUA WANITA PERTUBUHAN IKRAM MALAYSIA

Sempena HARI GURU 2016

GURU PEMBINA GENERASI NEGARA RAHMAH

16 Mei 2016

16 Mei dinobatkan saban tahun sebagai Hari Guru di Malaysia bagi menghargai jasa dan pengorbanan para guru. Wanita Pertubuhan IKRAM Malaysia mengucapkan Selamat Hari Guru kepada semua guru di seluruh pelusuk tanahair di mana pun mereka berada.

Tema Hari Guru pada tahun ini, “Guru Pembina Negara Bangsa” mempunyai nilai dan tafsiran yang menyeluruh tentang fungsi guru dan kepentingan pendidikan pada hari ini. Bertepatan dengan tema Hari Guru 2016 adalah peribahasa “Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul”. Kedua-duanya menggambarkan betapa besar dan beratnya tanggungjawab yang dipikul oleh para pendidik.

Dalam bahasa Arab, guru adalah murabbi, muaddib, mudarris dan muallim. Sebagai murabbi, guru berperanan mendidik dan mentarbiah anak didiknya agar menjadi insan Rabbani yang bertanggungjawab kepada Pencipta dan masyarakat sekelilingnya. Sebagai mudarris, guru berperanan sebagai tenaga pengajar pelbagai kemahiran yang diperlukan oleh pelajarnya. Sebagai muaddib, guru membentuk adab, akhlak dan peribadi mulia murid-muridnya, dan sebagai muallim, guru menyampaikan ilmu yang bermanfaat, menjadi pusat ilmu dan menjadi rujukan para penuntutnya.

Sempena Hari Guru ke-45 pada tahun ini, Wanita IKRAM menyeru agar

1. Semua warganegara Malaysia bergabung usaha dan tenaga membantu guru melahirkan barisan pelapis kepimpinan negara yang berilmu, berakhlak dan berjiwa Rabbani serta mampu menyumbang kepada terdirinya sebuah negara rahmah pada masa depan.

2. Semua pihak mengamalkan budaya perkongsian dan pemuafakatan untuk membangun potensi anak bangsa dalam bidang sains dan teknologi, kemahiran pendidikan teknik dan vokasional serta kejuruteraan demi melahirkan warganegara yang menjadi aset kepada pembangunan negara.

3. Masyarakat lebih perihatin tentang pendidikan anak-anak termasuk dari aspek keselamatan, kesihatan emosi dan mental agar kebajikan mereka sentiasa terpelihara.

4. Seluruh masyarakat memandang tinggi usaha guru dan memberi pengiktirafan sewajarnya kepada usaha yang dilakukan oleh mereka dalam pembentukan modal insan yang cemerlang.

Akhir kalam, Wanita IKRAM menyeru semua guru di seluruh negara menunjukkan keperibadian yang mulia dan memikul tanggungjawab ini dengan penuh amanah dan ikhlas. Wanita IKRAM juga mengajak masyarakat bersama-sama menjayakan transformasi pendidikan negara serta meletakkan profesyen keguruan ini di tempatnya yang mulia dan terpercaya.

Selamat Hari Guru, Cikgu .

Datin Paduka Hajah Che Asmah Ibrahim
Ketua Wanita IKRAM Malaysia

13244065_1026512774097108_2327287295820581352_o

NO COMMENTS

LEAVE A REPLY