PATWA 2016 | Ucapan Dasar Ketua Wanita IKRAM Malaysia “Amilat Rabbaniyyah Pemacu Islah”

0
525
Sempena Perhimpunan Ahli Teras Wanita (PATWA) Keenam IKRAM Malaysia 2016, Ketua Wanita IKRAM Malaysia, Yg. Berbahagia Datin Paduka Hjh Che Asmah Ibrahim telah menggariskan beberapa perkara bagi renungan bersama.
Teks ucapan beliau telah dibacakan oleh Timbalan Ketua Wanita IKRAM Malaysia, Yang Berusaha Dr. Hafidzah Mustakim di The Space Grand Ballroom, Bukit Jelutong, Shah Alam, pada hari Sabtu, 28 Mei 2016.
Antara lain, ucapan beliau mengingatkan semua Ahli Teras akan tujuan perhimpunan iaitu menyatukan hati-hati, meningkatkan komitmen dan iltizam, dapat mengikuti perkembangan IKRAM serta memberi saranan dan ide-ide bernas kepada kepimpinan.
Pentarbiyahan IKRAM bertujuan melahirkan Ahli-Ahli Teras yang bersifat Rabbaniyah, selari dengan tajuk Ucapan Dasar Ketua Wanita. Perkataan Rabbaniyah berakar umbi kepada Rabbani iaitu pemilik, pemberi nikmat dan pendidik. Oleh itu, Ahli Teras perlu menyerapkan ciri-ciri Murabbi, iaitu bercirikan sifat mendidik masyarakat – satu tugas yang perlu digalas bersungguh-sungguh sepanjang hayat. Ini tidak memadai dengan ilmu yang sedia ada, malah senantiasa memerlukan dua lagi perkara iaitu belajar dan mengajar.
Peranan usaha mendidik ini seharusnya dimainkan oleh setiap Ahli Teras dalam masyarakat. Usaha ini merangkumi penyebaran mesej Islam melalui aktiviti dakwah, meningkatkan kesatuan dan perpaduan demi mencapai wawasan IKRAM iaitu Malaysia Menjadi Negara Rahmah.
Dengan mengambilkira situasi masyarakat majmuk, Wanita IKRAM mampu memainkan peranan dengan memberikan pandangan, menjadi pusat rujukan menerusi saluran media masa perdana, alternatif dan agensi kerajaan, mengemukakan penyelesaiaan holistik dengan melihat sesuatu isu pada peringkat akar umbi. Usaha begini dapat dimainkan secara efektif dan meluas dengan semua pihak yang mempunyai aspirasi yang sama melalui networking.
Akhir sekali, Ketua Wanita IKRAM Malaysia telah menegaskan sekali lagi, moto IKRAM iaitu ‘Ukhuwah Teras Kegemilangan’ menjadi tunggak kepada segala usaha, terutama dalam mendekatkan jurang antara generasi demi penerusan perjuangan.

NO COMMENTS

LEAVE A REPLY