Da’i Kedai Kopi

0
353

Da’i Kedai Kopi | Pernah tak pergi ke kedai kopi di kampung-kampung. Yang mana kat atas meja kedai tu ada nasi lemak, kat sebelah luar kedai tu pulak ada gerai jual roti canai, dan orang-orang tua kampung tu suka pergi ke kedai tu, dan order kopi o satu, ataupun mungkin juga teh tarik satu, kemudian lepak di kedai kopi tu berjam-jam, bersembang pelbagai isu yang ‘besar’.

Kadang kala diorang berbincang berkaitan politik, mungkin berkaitan video seks Anwar Ibrahim, mungkin juga pasal PPSMI, ataupun apa-apalah isu yang ‘besar’. Diorang punya sumber kebanyakannya hanyalah surat khabar yang ada disediakan di kedai kopi tersebut.

Mereka akan mencadangkan pelbagai penyelesaian terhadap masalah-masalah yang berlaku, apakah punca kepada masalah, apakah yang sepatutnya dilakukan, dan lain-lain. Kadang kala juga mungkin akan berlaku perdebatan di antara mereka, terutamanya kalau ada dua orang yang berbeza fahaman politik, pasti mereka akan berdebat disebabkan perbezaan pendapat. Dengan suara yang biasanya kasar dan loghat kampung masing-masing, riuh rendahlah kedai-kedai kopi itu dengan suara dan pendapat mereka.

Akhirnya selepas beberapa jam berada di kedai kopi, mereka pun bersurai, ada yang akan pergi menjual getah yang dikutip, mungkin ada pula yang akan kembali ke sawah padi, tak kurang juga yang akan pulang ke rumah dan tidur.

Tidak sedikit pun perbincangan mereka yang begitu ‘kritikal’ dan ‘mendalam’ tadi akan memberi kesan, kepada kehidupan mereka, apatah lagi kepada negara Malaysia…

Begitu jugalah dengan da’i kedai kopi.

Ketika di dalam usrah begitu meletup-letup menceritakan berkaitan masalah umat, begitu bersemangat memberi pandangan dan cadangan terhadap masalah-masalah yang berlaku, dari tahap masalah dakwah di lokaliti sehinggalah tahap nasional dan tahap dunia.

Pelbagai masalah dan isu di dalam tarbiyah dianalisis, kemudian dengan kritikal sekali dia mengeluarkan pandangan punca dan penyelesaian. Kadang kala pula bercerita perihal individu-individu secara begitu terperinci, sedangkan mungkin sebahagian yang diceritakan itu tidak akan mendatangkan sebarang manfaat pun yang boleh mendekatkan individu tersebut kepada Allah.

Kadangkala pula dia bercerita berkaitan masalah jemaah, masalah qiyadah, masalah manhaj.

Namun lepas habis usrah, dia kembali ke depan laptop, buka 9gag, dan post 9gag di Facebook…. Segala hasil perbincangan yang begitu ‘kritikal’ dan ‘mendalam’ tadi hilang macam tu saja… Tidak sedikit pun mendatangkan manfaat kepada dirinya, mahupun kepada umat…

Itulah da’i kedai kopi, da’i yang hanya banyak berfikir dan berbicara, tapi amalnya kosong…

“Sesungguhnya individu yang hebat itu bukanlah orang yang boleh mengeluarkan idea-idea yang besar, tetapi individu yang hebat itu adalah individu yang boleh menukarkan ideanya yang besar menjadi realiti.”

Sangat mudah untuk kita mengatakan “langkah pertama dalam menegakkan Islam adalah mendekatkan diri kita kepada Allah” – tapi in the end kadangkala da’i yang berkata-kata pun tidak mampu untuk solat berjemaah subuh di pagi hari.

Sangat mudah untuk kita mengkritik hasil seni poster seseorang itu buruk, sedangkan mungkin kita ini nak menggunakan Photoshop pun tidak reti, apatah lagi nak hasilkan poster yang lebih menarik.

Sangat mudah untuk kita mengatakan tarbiyah yang dibuat orang ini salah, dakwah yang dibuat dia ini tidak syumul, tapi sejauh mana pula dakwah dan tarbiyah yang kita buat sudah mendatangkan kesan? Sudah mengubah individu dan masyarakat?

Ikhwah Akhawat,

Jika ada perkara yang kita rasakan tidak betul, maka hasilkanlah sesuatu yang ‘betul’ yang akan mendatangkan kesan yang lebih besar dan hebat daripada perkara ‘tidak betul’ tadi.

Jika kita tidak mampu, maka lebih baiklah kita menyuarakan pandangan kita dengan baik melalui saluran yang betul, dengan cara yang betul, semoga dengan itu akan ada pembaikan daripada pihak yang berkelayakan dan berkemampuan.

Kerana dakwah ini, umat ini, tidak memerlukan individu-individu yang banyak mulut tetapi kosong gerak kerja.

Bersyuralah

kerana di situlah terletaknya kesatuan

kerana di situlah terletaknya ketenangan

kerana di situlah terletaknya keberkatan

kerana di situlah terletaknya keredhaan Allah

Izzuddin Yussof
Economics and Actuarial Science
University of Southampton
http://www.izzuddinyussof.com

NO COMMENTS

LEAVE A REPLY