Perutusan Ketua Wanita Pertubuhan IKRAM Malaysia

 

MAULIDURRASUL 1437
AJARAN RASULULLAH SOLUSI PERMASALAHAN MASYARAKAT

12 Rabiul Awal sering diingati sebagai hari kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. Baginda diangkat menjadi rasul ketika berusia 40 tahun.

Ternyata bahawa yang memberi erti kepada kelahiran baginda adalah tugasan sebagai utusan Allah yang dipertanggungjawabkan ke atas baginda, bukan sekadar kelahirannya ke dunia ini semata-mata. Justeru, apabila kita mengingati maulid, yang perlu kita ingati adalah risalah yang dibawa dan disampaikan kepada seluruh umat manusia.

Misi yang dibawa oleh baginda ialah melurus dan memantapkan akhlak umat manusia sebagaimana ditegaskan di dalam sepotong hadis yang bermaksud: “Hanyasanya aku diutuskan adalah untuk menyempurnakan akhlak yang mulia!” Musnad al-Bazzar daripada Abu Hurairah r.a.

Kemuliaan dan kesempurnaan akhlak seseorang diukur pada keindahan akhlaknya terhadap wanita. “Mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang paling baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kamu ialah yang paling baik akhlaknya terhadap wanita-wanita mereka.” Riwayat at-Tirmizi daripada Abu Hurairah r.a.

Mengapa baginda begitu memberi perhatian terhadap kedudukan wanita, sehingga layanan yang baik terhadap wanita menjadi ukuran kepada ketinggian akhlak seseorang?

Jawapannya amat jelas. Wanita adalah ibu yang melahirkan seluruh manusia generasi demi generasi. Ia seumpama sebuah kilang yang menentukan tahap kualiti produk yang dihasilkan. Andai berlaku sebarang kepincangan pada kilang, pastinya menjejaskan seluruh produk yang terhasil daripada kilang tersebut.

Melihat kepada senario zaman sekarang, di mana statistik keganasan terhadap wanita makin meningkat dari tahun ke tahun, kes-kes pengabaian terhadap ibu yang telah tua, kecuaian dalam mendidik anak-anak sehingga mereka terjebak dalam pelbagai salah laku dan jenayah membuktikan bahawa masyarakat kita masih jauh daripada ajaran yang dianjurkan oleh Rasulullah s.a.w. meskipun maulidul-rasul disambut dan dirayakan saban tahun.

Justeru, Wanita IKRAM menyeru agar

1. Semua pihak menilai kembali sambutan maulidul-rasul, agar ianya tidak menjadi sekadar aturcara berarak dengan melaungkan selawat diikuti dengan ucapan semangat berapi-api semata. Namun hakikatnya, ajaran serta saranan yang dianjurkan oleh baginda, khususnya mengenai hak-hak wanita makin jauh tertinggal di belakang dari terlaksana.

2. Kaum wanita sendiri mesti lebih peka terhadap kedudukan serta hak-hak mereka yang dijamin oleh Nabi yang bersifat rahmah ini. Kepekaan dan kesedaran tidak lahir tanpa ilmu. Maka wanita mesti mempersiapkan diri dengan ilmu yang benar daripada sumber yang sahih, al-Quran dan al-Hadis.

3. Ajaran baginda Rasulullah s.a.w. mesti disebarkan kepada semua lapisan masyarakat, bermula dengan ahli keluarga dan orang di sekeliling kita agar tidak seorang pun yang ketinggalan dari mendapat rahmat dan kesejahteraan dari ajaran Rasulullah s.a.w. Ajaran Islam yang benar mampu menjadi solusi kepada seribu macam permasalahan yang timbul dalam masyarakat hari ini .

Datin Paduka Hajah Che Asmah Ibrahim
Ketua Wanita Pertubuhan IKRAM Malaysia
12 Rabiul Awal 1437H/ 24 Disember 2015

NO COMMENTS

LEAVE A REPLY