Menutup Aurat Adalah Kewajipan Wanita Muslim Bukan Pilihan

0
312

KENYATAAN MEDIA WANITA IKRAM, PERTUBUHAN IKRAM MALAYSIA.

“MENUTUP AURAT ADALAH KEWAJIPAN WANITA MUSLIM BUKAN PILIHAN”

22  Disember 2015

Isu diskriminasi terhadap pekerja wanita Islam, berpakaian menutup aurat seringkali menjadi perbahasan dalam masyarakat. Isu terkini,  melibatkan kejadian jururawat Naziah Sauni Samat yang diberhentikan kerja oleh majikannya,  Damai Services Hospital kerana enggan mengenakan pakaian seragam berlengan pendek. Menurut  laporan media pihak pengurusan hospital menegaskan pemberhentian itu adalah kerana masalah disiplin pekerja terbabit.  Pihak pengurusan Damai Services Hospital juga menyatakan polisi pakaian berlengan pendek untuk jururawat telah berkuatkuasa sejak Hospital itu beroperasi pada tahun 1989.  Jururawat tidak dibenarkan memakai lengan panjang kerana dikhuatiri akan menyebabkan jangkitan kuman ketika mengurus pesakit.

Pada masa yang sama, Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya, dalam ulasannya mengatakan bahawa jururawat di hospital kerajaan yang beragama Islam di benarkan berpakaian menutup aurat dengan mengenakan pakaian berlengan panjang.  Kajian saintifik setakat ini juga menunjukkan bahawa tiada bukti bahawa berpakaian lengan panjang meningkatkan risiko jangkitan penyakit.

Wanita IKRAM prihatin terhadap isu ini kerana ianya membabitkan  hak, kebajikan dan KEWAJIPAN seorang pekerja wanita Islam berpakaian sebagaimana yang dituntut  oleh agamanya.

Apa  yang berlaku ini, menunjukkan  tentang suatu cabaran kepada  masyarakat  dalam melaksanakan usaha menghapuskan segala bentuk diskriminasi terhadap  wanita termasuk dalam bidang ekonomi, politik, sosial dan budaya. Perkara 8(2) Perlembagaan Persekutuan secara jelas menyebut tidak boleh ada diskriminasi terhadap warganegara semata-mata atas alasan agama, keturunan, tempat lahir, jantina atau perlantikan mana-mana jawatan.

Ekoran dari peristiwa ini juga pihak Damai Services Hospital mendapat ancaman apabila pintu utama Hospital Damai Service Sdn Bhd di Taman Melawati, disimbah cat putih oleh dua individu yang menunggang motosikal.

Justeru Wanita IKRAM menyeru agar;

1.      Pihak Damai Services Hospital SDN BHD, agar melihat dan mengkaji semula Peraturan Pakaian Jururawat yang sudah mereka amalkan selama 26 tahun sejak 1989.

Memang benar sebagai majikan mereka berhak  menentukan polisi dan dasar sendiri namun dari aspek lain, kesediaan mereka untuk bertolak ansur dan membenarkan jururawat memakai pakaian seragam berlengan panjang sesuai tuntutan hukum Islam adalah merupakan satu langkah bijaksana dan mesra pekerja disamping ini akan memberikan pilihan terbaik kepada 41 orang jururawat mereka yang juga beragama Islam yang sekali gus  akan memberi keselesaan dan ketenangan  kepada mereka kerana  dapat  melaksanakan tuntutan berpakaian sebagaimana ajaran agama Islam.

2.      Semua pihak hendaklah menghadapi isu ini dengan matang dan bijaksana. Janganlah ada pihak yang menangguk di air yang keruh .  Peristiwa simbah cat adalah satu tindakan yang wajar dikecam kerana ia bukan suatu budaya mulia dan bukan dari ajaran Islam malah  ia hanya memburukkan lagi suasana.

Islam sangat menganjurkan dialog dan perbincangan  serta meraikan kepelbagaian agama ,perbezaan pendapat, kaum dan budaya.

3.      Setiap pekerja wanita mestilah  mengetahui hak-hak mereka yang dijamin melalui perlembagaan dan undang-undang. Mereka juga harus berani tampil untuk membuat aduan atas  mana-mana majikan yang mengenakan sebarang peraturan yang bercanggah dengan hukum Islam sekali gus   juga   melakukan eksploitasi wanita.

4. Wanita Islam  juga perlu bijak memilih bidang pekerjaan yang bersesuaian bagi memastikan tuntutan agama, tugas dan tanggungjawab utama mereka sebagai anak, isteri dan ibu tidak terabai kerana tuntutan kerjaya.

Semoga dengan ini kita dapat melahirkan masyarakat rahmah dan harmoni, saling hormat menghormati  dan prihatin terhadap keperluan masing-masing.

Datin Paduka Hajah Che Asmah Ibrahim
Ketua Wanita Pertubuhan IKRAM Malaysia

NO COMMENTS

LEAVE A REPLY