Ta’rif

Qiamullail diambil dari bahasa Arab, gabungan dua patah perkataan iaitu qiam dan al-lail yang membawa makna ‘bangun’ dan ‘malam’ untuk tujuan beribadat sama ada bersolat, berzikir atau berdoa. Amalan qiamullail ini adalah sangat-sangat dituntut dalam Islam berdasarkan banyak ayat-ayat Al-Quran dan hadits-hadits. Ia merupakan amalan Nabi-nabi, rasul-rasul dan golongan salaf.

Tuntutan & Kelebihan Qiamullail

Sebagai contohnya, firman Allah dalam surah Al-Muzammil ayat 1-5 yang bermaksud: “Wahai orang yang memakai pakaian! Bangunlah berjaga malam (bersolat) selain sedikit waktu saja, seperduanya atau kurangkan lagi daripada itu, dan bacalah Al-Quran dengan terang dan perlahan-lahan. Kami akan memberimu perkataan yang berat.”

Juga firman Allah dalam surah As-Sajadah ayat 16 yang bermaksud: “Mereka meninggalkan tempat tidur mereka menyeru Tuhan mereka dengan penuh kecemasan dan pengharapan….”

Manakala di dalam banyak hadits terdapat gesaan dari Rasulullah s.a.w agar umat Islam berqiamullail, sebagai contohnya apa yang diriwayatkan oleh At-Tirmizi dengan sanad yang sahih bahawa Nabi pernah bersabda bermaksud: “Wahai umat Islam, tebarkanlah salam, dan berilah makan, dan jalinlah silaturrahim sesama kamu dan solatlah ketika orang lain tidur, nescaya kamu akan masuk syurga dengan salam (selamat)”.

Hassan Basri r.a pernah berkata: “Aku tidak pernah jumpa suatu ibadat yang lebih utama dari bersolat pada waktu tengah malam.”
Beliau kemudiannya ditanya: “Mengapa orang-orang yang bangun bertahajjud (qiamullail) lebih baik wajahnya pada hari dibangkitkan di padang mahsyar dari orang lain?”
Beliau menjawab:

“Kerana mereka sentiasa bertemu dengan Allah secara bersendirian menyebabkan Allah memakaikannya dengan nurNya.”

(Mukthosar Minhajil Qosidin)

Qiamullail Amalan Nabi-nabi dan Salafussoleh

Qiamullail merupakan amalan salafussoleh (golongan terdahulu) seperti yang disebutkan oleh Nabi Muhammad s.a.w dalam satu hadits yang lain bermaksud: “Hendaklah kamu berqiamullail sesungguhnya ia adalah amalan orang-orang soleh sebelum dari kamu , ia adalah jalan menghampiri Tuhan kamu dan cara menghapuskan dosa-dosa kamu serta cara menjauhi dosa-dosa.” (Hadis Riwayat At-Tirmidzi)

Nabi s.a.w sendiri pun sentiasa bangun malam untuk bertahajjud, berzikir dan beristighfar sehingga bengkak-bengkak kaki baginda. Al-Mughirah bin Syu’bah meriwayatkan hadits yang bermaksud: “Tidakkah telah diampunkan dosamu wahai Rasulullah?” para sahabat bertanya. Nabi menjawab: “Tidakkah patut aku menjadi hamba yang bersyukur?” (Muttafaqun Alaihi)

Menunaikan Solat Dua Rakaat Untuk Menghadapi Kesunyian Kubur

Rasulullah s.a.w. amat menggalakkan umatnya bangun malam untuk bertemu dengan Allah, bersolat dan mengabdikan diri kepadanya. Di dalam  buku Bahtera Penyelamat Dalam Kehidupan Pendakwah karangan Al-Ustaz Prof. Dr. Fathi Yakan, ada disebutkan betapa penting para pendakwah bangun berqiamullail dengan harapan semoga Allah memberi kekuatan kepadanya, keikhlasan dan ketabahan dalam menghadapi liku-liku perjalanan dakwah yang dilalui.

Kesusahan yang dihadapi dalam menjalankan kegiatan dakwah dan amal islami akan menjadi ringan dengan cara menjalin hubungan langsung dengan Allah menerusi aktiviti qiamullail yang menjadi rutin kehidupan seseorang pendakwah itu.

Pendakwah haruslah mengingatkan diri mereka bahawa tidak ada tempat lain bagi mereka memohon pergantungan melainkan hanya kepada Allah.

Di dalam satu hadits yang panjang, Nabi s.a.w. menyebut yang bermaksud: “Dan tunaikanlah solat dua rakaat dalam kegelapan malam bagi menghadapi kesunyian alam kubur.

Sembahyang malam tidak dapat ditandingi oleh sebarang ibadat. Ia membekalkan kita dengan potensi dan daya juang yang hebat seperti yang disebut oleh Allah swt.

Dalam surah Al-Muzammil ayat 6 yang bermaksud: “Sesungguhnya jiwa yang terbentuk di waktu malam itu lebih mantap ( keperibadiannya ) dan lebih jitu kata-katanya.”

Berpandukan kepada ayat di atas, para pendakwah yang ingin melihat perubahan pada diri orang yang didakwahnya haruslah tidak mengabaikan tanggungjawab berqiamullail.

Diriwayatkan bahawa Jibril datang bertemu Nabi s.a.w. lalu berkata: “Hai Muhammad, hiduplah seperti mana yang engkau mahu namun engkau akan mati. Berbuatlah apa yang engkau mahu namun engkau pasti akan dibalas kelak. Cintalah sesiapa yang engkau kehendaki namun engkau pasti akan berpisah dengannya. Ketahuilah kemuliaan seseorang Islam disebabkan qiyamullail manakala kehebatannya disebabkan tidak mengharapkan sesuatu dari orang lain.” (Hadis Riwayat At-Tabrani)

Jika seseorang itu tidak mampu mengamalkan perkara ini dan membudayakannya dalam kehidupan maka kegiatan dakwah yang dilakukan menjadi kurang berkesan.

Bencana yang menimpa umat Islam hari ini adalah disebabkan kekurangan individu yang mempunyai ciri-ciri dakwah dan akhlak yang sepatutnya.

Bagaimana Memudahkan Qiamullail ?

Sayugia diingatkan bahawa terdapat beberapa halangan yang pasti dihadapi untuk melaksanakan ibadat ini. Dalam hadits disebutkan apabila seseorang hendak menunaikan sembahyang malam datanglah malaikat seraya berkata kepadanya: “Bangunlah, hari telah pagi , solat dan ingatlah kepada Tuhanmu.
Syaitan pula datang dan memujuknya dengan berkata: “Malam masih panjang, tidurlah lagi. Nanti engkau bangunlah.
Sekiranya dia bangun maka badannya menjadi ringan dan cergas (sihat ). Jika tidak bangun dan tidur hingga ke siang hari maka syaitan telah pun kencing dalam telinganya.
Di antara langkah-langkah yang patut diambil bagi mengelakkan diperlakukan oleh syaitan sedemikian rupa, di mana Al-Imam Al-Ghazali memberikan kepada kita beberapa teknik supaya mudah berqiamullail. Antaranya termasuklah:

1. Kurangkan makan.
2. Kurangkan kerja-kerja berat yang menyebabkan badan menjadi letih dan tidak mampu bangun pada malam hari.
3. Hendaklah tidur sebentar di waktu siang sebelum atau selepas zohor seperti yang diamalkan oleh Nabi s.a.w.
4. Elakkanlah daripada melakukan sebarang dosa sama ada melibatkan percakapan, perbuatan dan niat. Sufian At-Thauri berkata: “Aku tidak dapat berqiamullail selama lima bulan disebabkan dosa yang kulakukan.”

Tingkatan Mereka Yang Berqiamullail

Menghidupkan malam atau berqiamullail mempunyai beberapa cara. Antaranya :
1. Menghidupkan keseluruhan malam. Ini ada diriwayatkan pernah dilakukan oleh ramai Salaf. Barangkali ini sesuai dilakukan pada hari-hari cuti secara berjemaah.

2. Menghidupkan separuh malam. Cara yang dilakukan ialah malam dibahagikan kepada enam bahagian. Sepertiga yang pertama untuk tidur, seperdua kedua untuk qiamullail dan seperenam yang akhir adalah untuk berehat.

3. Menghidupkan sepertiga malam. Iaitu dengan cara tidur seperdua yang awal dan seperenam yang akhir. Menurut athar ini adalah amalan Nabi Daud a.s. Di dalam Sahih Bukhari dan Muslim ada disebutkan sebaik-baik qiamullail adalah apa yang dilakukan oleh Nabi Daud a.s, baginda tidur seperdua, qiyam sepertiga dan tidur seperenam yang baki. Tidur di akhir malam itu sebelum subuh boleh menghilangkan mengantuk pada waktu siang nanti. Tetapi haruslah diingat agar tidak terlajak tidur hingga mengakibatkan tertinggal solat subuh  Paling baik bagi golongan muslimin ialah bersolat subuh secara berjemaah pada pagi itu kerana seperti yang disebut dalam hadits sahih, solat subuh berjemaah menyamai ibadat Qiyamullail seluruh malam.

4. Mendirikan seperenam ataupun seperlima malam dan sebaik-baiknya pada separuh yang terakhir.

5. Berqiamullail tanpa mengambil kira mana-mana bahagian malam kerana tidak mampu mengikuti panduan di atas.

Qiamullail Untuk Golongan Yang Uzur

Halangan seperti sakit, haid, nifas dan keuzuran syar’ie yang lain, tidaklah menyebabkan gugurnya tuntutan berqiamullail.

Mereka boleh duduk menghadap kiblat sambil mengingati Allah dan berdoalah apa yang dikehendaki.

Jika tidak berkemampuan maka bolehlah dilakukan dalam keadaan baring. Ini kerana Nabi ada bersabda dalam satu hadits Sahih yang bermaksud: “Pada waktu malam ada satu waktu Allah swt. menerima segala permintaan hambanya iaitu sewaktu qiamullail.” (Hadis Riwayat Muslim)

Jika seseorang itu yang biasanya berqiyamullail tiba-tiba tidak terbangun pada malam itu, maka bolehlah diqada`nya pada waktu dhuha keesokan hari .

Amaran Bagi Mereka Yang Meninggalkan Qiyamullail

Di dalam hadits sahih riwayat Bukhari dan Muslim, Nabi saw bersabda maksudnya: “Janganlah jadi seperti fulan itu, dahulu dia berqiamullail, sekarang tidak.

NO COMMENTS

LEAVE A REPLY