Himmah Aaliah

0
260

Himmah boleh diertikan sebagai sesuatu yang mendorong seseorang untuk melakukan sesuatu perbuatan atau mengambil sesuatu tindakan. Himmah ada yang  tinggi dan ada yang rendah. Himmah aaliah adalah himmah yang tinggi.

Salah seorang soleh berkata:

Jagalah himmahmu kerana himmah merupakan muqaddimah kepada segala sesuatu. Jika himmah itu baik dan benar, baiklah amalan yang mengekorinya.

Himmah terletak di dalam hati

Himmah adalah amalan hati. Hati seseorang tidak boleh dikuasai oleh orang lain daripada tuannya. Sebagaimana burung yang terbang tinggi dengan dua sayapnya, begitulah seseorang itu terbang dengan himmahnya. Dia meluncur laju mencapai ufuk paling tinggi, lepas bebas dari segala belenggu yang melingkungi jasadnya.

Kata Ibn Qutaibah: “Orang yang mempunyai himmah, andainya dia jatuh dia tidak akan mengalah, laksana pucuk api. Sekalipun dihembus tetap akan menjulang tinggi.”

Himmah mukmin menyampaikannya ke destinasi lebih dahulu daripada amalnya

Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya: “Sesiapa ber’hamma’ dengan kebaikan tetapi dia tidak melakukannya, Allah tulis himmah itu di sisiNya satu kebaikan sepenuhnya.” (Hadis Riwayat Bukhari)

Sabdanya lagi maksudnya: “Sesiapa yang meminta kepada Allah syahadah (mati syahid) dengan benar, Allah sampaikannya ke manzilah (darjat) syuhada’ sekalipun dia mati di atas tilamnya.” (Hadis Riwayat Muslim)

Di kesempatan lain, Rasulullah s.a.w. bersabda mengenai orang yang telah membuat persiapan untuk pergi berjihad, kemudian dia meninggal sebelum berangkat, sabda baginda maksudnya: “Sesungguhnya Allah telah kurniakannya ganjaran mengikut kadar niatnya.” (Hadis Riwayat Ahmad)

Baginda juga bersabda maksudnya: “Tidak ada seorang mukmin yang telah berniat untuk solat malam, lalu dia ditewaskan oleh tidur, melainkan ditulis untuknya ganjaran solatnya. Dan tidurnya itu menjadi sedekah untuknya.” (Hadis Riwayat an-Nasa’e dan Abu Daud)

Keistimewaan mereka yang mempunyai himmah yang tinggi

i. Sedia berkorban. Sesungguhnya orang yang memiliki himmah yang tinggi sedia berkorban apa saja demi mencapai mataamatnya dan merealisasikan cita-citanya kerana dia yakin bahawa kemuliaan dipagari dengan kesukaran, kesenangan tidak akan tercapai tanpa kesulitan. Seorang penyair bermadah:

“Katakan kepada orang yang mengharap pada ketinggian
Tanpa berpenat lelah, anda sebenarnya mengharap pada perkara yang mustahil.”

Penyair yang lain pula menukilkan madah yang menggambarkan ketinggian himmahnya:

“Kesedihan hatiku tidak akan luntur
Selagi aku tidak menerima berita gembira amalku diterima
Dan aku dapat mencapai kitabku dengan tangan kanan
Dan mataku belum menatap wajah Rasul.”

Orang yang mempunyai himmah aaliah meluncur dengan penuh yakin, kuat dan pantas memburu matlamat yang jelas meredah segala rintangan tanpa keluhan bak kata pepatah membujur lalu melintang patah.

Nabi s.a.w. bersabda maksudnya: “Sesiapa yang takut, dia akan berjalan dengan pantas. Sesiapa yang berjalan dengan pantas dia akan segera sampai ke destinasinya. Ketahuilah bahawa barangan Allah itu mahal. Ketahuilah bahawa barangan Allah itu adalah syurga.” (Hadis Riwayat At-Tirmizi)

Firman Allah Ta’ala bermaksud: “Dan sesiapa yang menghendaki akhirat dan berusaha mengerjakan amal-amal yang baik untuk akhirat dengan usaha yang layak baginya, sedang dia beriman, maka mereka yang demikian keadaannya, diberi pahala akan amal usahanya.” (Al-Isra’: 19)

ii. Tidak akan merombak tekadnya. Allah Ta’ala berfirman maksudnya: “Kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakallah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepadaNya.” (Ali-Imran: 159)

Seorang tokoh bernama Ja’far al-Khaladi al-Baghdadi berkata: “Aku tidak pernah bertekad untuk lakukan sesuatu kerana Allah, kemudian aku memungkirinya.”

iii. Sangat menjaga waktu. Daripada Mu’az bin Jabal r.a. Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya: “Tidak ada yang disesali oleh ahli syurga melainkan saat-saat yang berlalu tanpa diisi dengan zikrullah.” (Hadis Riwayat al-Baihaqi dan at-Tabrani, dikategorikan sebagai dhaif)

Orang yang mempunyai himmah aaliah tidak akan membiarkan masa berlalu tanpa diisi dengan perkara berfaedah.

Ini digambarkan dalam serangkap syair mereka yang memiliki himmah aaliah:

“Apabila berlalu satu hari aku tidak menghasilkan sesuatu
Dan tidak menambah sebarang ilmu
Maka hari itu tidak dihitung sebagai umurku.”

iv. Tidak berpuas hati kecuali mendapat syurga. Pemilik himmah aaliah tidak mengejar sesuatu yang fana, hidup yang sementara. Sebaliknya dia sentiasa mencari kebahagiaan yang tinggi, hakiki dan abadi. Dia mengetahui nilai dirinya. Lantas dia memeliharanya dari terjerumus ke lembah yang hina, sesat di belantara dunia yang menggoda. Dia adalah makhluk yang dimuliakan Allah dengan akal dan agama yang diredhaiNya. Tidak mungkin akan ditukar kemuliaan dengan kehinaan.

Nas-nas berkaitan dengan himmah aaliah

  1. Allah mencela orang tidak mempunyai himmah dan menggambarkan mereka dengan gambaran yang sangat menjelikkan.
    Dan bacakanlah kepada mereka (wahai Muhammad), khabar berita seorang yang kami beri kepadanya (pengetahuan mengenai) ayat-ayat (Kitab) Kami, kemudian dia menjadikan dirinya terkeluar dari mematuhinya, lalu dia diikuti oleh Syaitan (dengan godaannya), maka menjadilah dia dari orang-orang yang sesat.
    Dan kalau Kami kehendaki nescaya Kami tinggikan pangkatnya dengan (sebab mengamalkan) ayat-ayat itu. Tetapi dia bermati-mati cenderung kepada dunia dan menurut hawa nafsunya; maka bandingannya adalah seperti anjing, jika engkau menghalaunya: Dia menghulurkan lidahnya termengah-mengah dan jika engkau membiarkannya: Dia juga menghulurkan lidahnya termengah-mengah. Demikianlah bandingan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami.
    Maka ceritakanlah kisah-kisah itu supaya mereka berfikir. Amatlah buruknya bandingan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami dan mereka pula berlaku zalim kepada diri merela sendiri.
    ” (Al-A’raf: 175-177)
  2. Allah memuji pula orang yang mempunyai himmah yang tinggi yang dipelopori oleh para Nabi dan Rasul.
    (Jika demikian akibat orang-orang kafir yang menentangmu wahai Muhammad) maka bersabarlah engkau sebagaimana sabarnya Rasul-rasul ‘Ulul Azmi’ (yang mempunyai keazaman dan ketabahan hati) dari kalangan Rasul-rasul (yang terdahulu daripadamu…” (Al-Ahqaf: 35)
  3. Mereka disifatkan sebagai ‘rijal’ yang mempunyai kemahuan yang kental, kuat berpegang kepada agama, gigih melakukan kebaikan dan istiqamah di dalam ketaatan kepada Allah.
    Di antara orang-orang yang beriman itu, ada yang bersikap benar menunaikan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah (untuk berjuang membela Islam); maka di antara mereka ada yang telah selesai menjalankan janjinya itu (lalu gugur syahid), dan di antaranya ada yang menunggu giliran dan mereka pula tidak mengubah (apa yang mereka janjikan itu) sedikit pun.” (Al-Ahzab: 23)
  4. Allah menggalakkan para mukminin agar bersegera dan berlumba-lumba ke arah kebaikan.
    …Oleh itu berlumba-lumbalah kamu membuat kebaikan (beriman dan beramal soleh). Kepada Allah jualah tempat kembali kamu semuanya, maka Dia akan memberitahu kamu apa yang kamu berselisihan padanya.” (Al-Maidah: 48)
  5. Nabi s.a.w. bersabda maksudnya: “Sekiranya berlaku qiamat, dan ketika itu di tangan kamu ada anak benih, sekiranya kamu mampu untuk menanamnya, tanamlah!” (Hadis Riwayat Muslim)
    Baginda juga bersabda maksudnya: “… Apabila kamu memohon kepada Allah, pohonlah al-Firdaus kerana ia syurga paling tengah dan paling tinggi. Di atasnya ‘Arasy ar-Rahman dan darinya terpancar sungai-sungai syurga.” (Hadis Riwayat Bukhari)

Bidang-bidang yang memerlukan himmah aaliah

  1. Menuntut Ilmu
    Nabi Musa a.s. merupakan sebaik-baik contoh ketika baginda berazam untuk berjalan walaupun terpaksa melintas waktu yang lama untuk menuntut ilmu dengan Khidhir a.s. “Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Nabi Musa berkata kepada temannya: Aku tidak akan berhenti berjalan sehingga aku sampai di tempat pertemuan dua laut itu atau aku berjalan terus bertahun-tahun.” (Al-Kahf: 60)
  2. Ibadah
    Al-Hasan al-Basri berkata: “Sesiapa yang mengejar kamu dalam urusan agamamu, maka kejar dia kembali. Dan sesiapa yang mengejarmu dalam urusan dunia, maka lemparkan saja ke atas tengkuknya.”
    Al-Wahib bin al-Ward pula berkata: “Sekiranya kamu mampu bahawa tiada siapa yang mendahuluimu dalam mendekatkan diri kepada Allah, lakukanlah!
  3. Mencari Kebenaran
    Banyak contoh-contoh yang boleh dipelajari daripada sirah orang-orang dahulu dan kemudian. Antaranya kisah Salman al-Farisi, Abu Dzar al-Ghifari dan lain.
  4. Dakwah
    Ini jelas tergambar pada kegigihan para Nabi a.s. terutama Nabi Muhammad s.a.w., Nabi Nuh dan lain-lain.
  5. Jihad
    Sejarah mencatatkan betapa kegigihan dan kesungguhan Rasulullah s.a.w. serta para sahabat r.a. di medan jihad menyebar dan mempertahankan Islam sehingga baginda bersabda maksudnya: “Sesungguhnya pintu-pintu syurga itu terletak di bawah bayangan pedang-pedang.” (Hadis Riwayat Ahmad dan Muslim)

Sesungguhnya mereka yang memiliki himmah aaliah sahaja yang mampu bertahan dalam perjuangan menegakkan kebenaran dan keadilan. Merekalah yang boleh diharapkan merubah pemikiran dunia dan mengalih aliran kehidupan.

Bilangan mereka tidak ramai, tetapi merekalah yang akan menarik umat ini segera bangkit dari tidur yang lena dan mimpi yang panjang.

Ustazah Maznah Daud

 

NO COMMENTS

LEAVE A REPLY