Jalan Dakwah adalah Jalan Penuh Keseriusan

0
241
“Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah, mengerjakan amal yang saleh, dan berkata: “Sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang menyerah diri?” (Fussilat: 33)

 

Zaman kita sekarang adalah fasa kebangkitan Islam. Di mana-mana dapat dilihat keghairahan golongan pemuda dan remaja menghulurkan tangan untuk menyertai gerabak kebangkitan umat. Siaran TV mula dicambahi dengan rancangan berbentuk membina keperibadian Islam. Video kreatif sebagai hiburan alternatif mula memenuhi laman sesawang YouTube. Konvensyen dan seminar kebangkitan yang menyeru kepada Islam muncul banyak sekali. Dan bermacam-macam lagi perubahan positif zaman yang jika dahulu asing sekarang tidak asing lagi. Alhamdulillah dakwah yang mulia sedang maju ke hadapan.

Sesungguhnya hidup adalah kesempatan.

Kesempatan untuk berbuat baik, beramal sehabis baik untuk kehidupan yang jauh lebih kekal abadi di akhirat nanti.

Dialah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) – untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat).” (Al-Mulk: 2)

Motivasi daripada Rasulullah.

Baginda membacakan ayat-ayat Allah SWT di hadapan para sahabat lebih 1400 tahun yang lalu. Kini menjadi peninggalan buat kita pula.

Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa.” (Ali-Imran: 133)

Mereka beriman kepada Allah dan hari akhirat, dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), dan mereka pula segera segera pada mengerjakan berbagai-bagai kebajikan. Mereka (yang demikian sifatnya), adalah dari orang-orang yang soleh.” (Ali-Imran: 114)

Buat kerja dakwah, perlu ikhlas

Jika dikaitkan dengan aktiviti dakwah, ikhlas dalam berdakwah adalah merujuk kepada dakwah yang dilakukan secara berkualiti, terbaik dan penuh dengan kesungguhan.

Seseorang da’i (pendakwah) yang ikhlas akan sentiasa melakukan dakwah yang berkualiti dan terbaik untuk dipersembahkan kepada Allah SWT.

Sebaliknya, jika da’i tersebut tidak ikhlas, maka ia akan melaksanakan aktiviti-aktiviti dakwahnya dengan tidak bersungguh-sungguh, ala kadar dan sekadar ‘cukup syarat’ sahaja. Seolah-olah, dakwah ini umpama satu beban.

Dalam beberapa kitab, para ulama’ telah menyimpulkan beberapa ciri da’i yang mana aktiviti-aktiviti dakwah yang dilakukannya tidak diiringi dengan keikhlasan kepada Allah SWT. Antaranya:

1)    Hanya melakukan dakwah ketika waktu lapangnya sahaja.

2)    Melakukan dakwah dengan sikap yang malas. Ia jarang sekali berdakwah ataupun sering mengabaikan dakwah.

3)    Kalaupun ia berdakwah, ia akan berusaha melemparkan beban dan tanggungjawab sesuatu dakwah itu kepada orang lain. Jika ada kesempatan, ia akan cuba mengelak daripada sesuatu bebanan tugas dakwah yang diberikan kepadanya.

4)    Tidak bersungguh-sungguh dalam mengerjakan sesuatu tugasan dakwah yang diberikan kepadanya.

5)    Mudah berputus asa dan mudah kecewa ketika menghadapi pelbagai ujian dan rintangan dalam berdakwah.

Dengan merenung kelima-lima ciri di atas, seseorang yang mengaku dirinya sebagai hamlud dakwah (pemikul tugas dakwah) tentu dapat menilai dirinya sendiri, sejauh manakah dakwah yang dilakukannya itu ikhlas ataupun sebaliknya. Ini sekaligus dapat memastikan sama ada amalannya  dapat diterima oleh Allah ataupun tidak.

Amatlah ruginya jika amalan yang dilakukannya itu ditolak oleh Allah SWT.

Rasulullah saw juga bersabda:

“Barang siapa yang menyeru (manusia) kepada petunjuk (al-Huda), maka baginya pahala yang setimpal dengan pahala yang ia lakukan (dakwah).” (HR Muslim)

Berdakwah itu misi hidup

Dakwah sebenarnya adalah merupakan kewajipan (fardhu) bagi umat Islam dan bukannya amalan sunat. Bahkan, ia sekali-kali tidak boleh diganti dengan sesuatu kafarah (tebusan) apa pun jika ia ditinggalkan. Maka adalah wajar jika para Nabi dan Rasul menjadikan amalan dakwah ini sebagai misi di dalam hidup mereka. Hal ini dapat kita lihat daripada ucapan Nabi Nuh as, sebagaimana yang dirakam di dalam al-Quran:

“Dia (Nuh) bekata: Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku telah menyeru kaumku siang dan malam
.” (Nuh: 5)

Nabi Nuh as. penuh keseriusan berdakwah menyeru kepada umatnya agar beriman kepada Allah SWT lebih kurang 950 tahun. Ia dilakukan pada siang dan malam tanpa jemu terhadap umatnya. Demikian pula yang dilakukan oleh baginda Nabi Muhammad saw selama 23 tahun sejak baginda diangkat menjadi Rasul Allah. Ini semua menunjukkan betapa para Nabi dan Rasul mengerjakan amanah dakwah ini dengan penuh keikhlasan.

Mereka mempertaruhkan usia, tenaga, fikiran, harta benda bahkan nyawa mereka di jalan dakwah.

Serius dan bersungguh dalam dakwah adalah ciri orang berjaya

Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka bersifat yang demikian ialah orang-orang yang berjaya.”  (Ali-Imran: 104)

Pn Faridah binti Maludin

NO COMMENTS

LEAVE A REPLY