Konsep Hutang Dari Perspektif Islam

0
275

Di mana-mana kini, baik di Malaysia mahupun di negara luar, banyak sangat hutang-piutang berlaku dalam konteks urusniaga atau perbankan atau sesama individu, yang menyebabkan permasalahan timbul semasa menjelaskan hutang.

Kebiasaannya pihak pemberi hutang yang akan menanggung kerugian kerana tidak mendapat semula wang yang diberikan kepada orang yang berhutang atau si berhutang.

Bagaimanakah konsep hutang-piutang ini menurut perspektif Islam?

Dalam Islam berhutang memang diharuskan. Islam memberi galakan kepada umatnya, agar memberi bantuan kepada saudara-saudaranya, lebih-lebih lagi dalam hal keperluan asasi. Hutang yang dibenarkan dalam Islam hanyalah hutang Al-Qard dengan maksud pinjaman. Ia juga dikenali dengan nama Al-Qardhul Hasan atau Al-Qardn Hassan atau pinjaman kebajikan (benevolent loan) di mana hutang atau pinjaman diberikan kepada orang yang sangat memerlukan bantuan, tanpa melibatkan bayaran lebih semasa bayaran balik hutang tersebut. Misalnya, jika diberi pinjaman RM1000 dan tempoh bayaran balik selepas 2 bulan, maka si berhutang mesti membayar semula hutang beliau pada tempoh yang dijanjikan dan dengan jumlah yang sama RM1000. Jika orang yang berhutang hendak memberikan lebihan saguhati kepada pemberi pinjaman, ini adalah dibenarkan dalam Islam tetapi tidak boleh dijadikan syarat dalam pinjaman itu.

Orang yang memberikan hutang tidak boleh mengenakan bayaran tambahan ke atas hutang itu, kerana jumlah tambahan ke atas hutang itu dikenali sebagai RIBA yang amat dilarang dalam Islam. Apa sahaja nama yang digunapakai seperti bunga, faedah, premium dan sebagainya, adalah termasuk dalam kategori riba selagi mana ia menepati definisi riba yang dimaksudkan. Secara ringkas, salah satu riba hutang-piutang ialah riba annasiah atau juga dipanggil riba al qard. Ini merujuk kepada hutang yang disyaratkan dengan faedah atau manfaat kepada pihak yang memberikan pinjaman. Ini merupakan satu bentuk penindasan kepada orang yang sedang dalam kesusahan kerana memerlukan bantuan kewangan.

Dalil tentang cara mengurus hutang ini seperti menulis jumlah hutang, tempoh hutang dan mengadakan saksi, telah digariskan dengan jelas oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala dalam firmanNya, dalam surah Al Baqarah, ayat 282.

“Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu menjalankan sesuatu urusan dengan hutang piutang yang diberi tempoh hingga ke satu masa yang tertentu, maka hendaklah kamu menulis (HUTANG DAN MASA BAYARANNYA) itu. Dan hendaklah seorang penulis antara kamu menulisnya dengan adil (benar). Dan janganlah seseorang penulis enggan menulis sebagaimana Allah telah mengajarkannya. Oleh itu, hendaklah dia menulis dan hendaklah orang yang berhutang itu merencanakan (isi surat hutang itu dengan jelas). Dan hendaklah dia bertaqwa kepada Allah Tuhannya, dan janganlah dian mengurangkan sesuatu pun dari hutang itu.
Kemudian jika orang yang berhutang itu bodoh atau lemah atau dia sendiri tidak dapat merencanakan (isi surat itu), maka hendaklah direncanakan oleh walinya dengan adil (benar); dan hendaklah kamu mengadakan DUA orang saksi lelaki dari kalangan kamu. Kemudian, kalau tidak ada saksi dua orang lelaki, maka bolehlah, seorang lelaki dan dua orang perempuan dari orang-orang yang kamu setujui menjadi saksi, supaya jika yang seorang lupa dari saksi-saksi perempuan yang berdua itu, maka dapat diingatkan oleh yang seorang lagi. Dan janganlah saksi-saksi itu enggan apabila mereka dipanggil menjadi saksi.
Dan janganlah kamu jemu menulis perkara hutang yang bertempoh masanya, sama ada kecil atau besar jumlahnya. Yang demikian itu, lebih adil di sisi Allah dan lebih membetulkan (menguatkan) keterangan saksi, dan juga lebih hampir kepada tidak menimbulkan keraguan kamu. Kecuali, perkara itu mengenai perniagaan tunai yang kamu edarkan sesama sendiri, maka tiadalah salah jika kamu tidak menulisnya. Dan adakanlah saksi apabila kamu berjual beli. Dan janganlah mana-mana jurutulis dan saksi itu disusahkan. Dan kalau kamu melakukan (apa yang dilarang itu), maka sesungguhnya yang demikian adalah perbuatan fasik (derhaka) yang ada pada kamu. Oleh itu, hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah dan (ingatlah), Allah (dengan keterangan ini) mengajar kamu; dan Allah sentiasa Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.”

Mungkin tidak timbul masalah untuk menulis hutang kerana prosedur yang jelas dengan persetujuan kedua-dua pihak yang berhutang dan yang memberi hutang. Telah termaktub dalam perjanjian hutang tersebut bahawa adalah menjadi tanggungjawab orang yang berhutang untuk menjelaskan hutangnya pada tempoh masa yang ditetapkan. Contoh terbaik bagi menjelaskan hutang adalah seperti yang telah ditunjukkan oleh Rasullullah s.a.w. sendiri ketika berhutang. Dari Abu Hurairah r.a., beliau berkata Rasulullah s.a.w pernah berhutang seekor unta kemudian Baginda membayarnya dengan yang lebih baik dan bersabda, maksudnya: “ Sebaik-baik kalian adalah yang paling baik dalam membayar hutangnya.” (Hadis Riwayat Imam Muslim)

Walaupun begitu, banyak kedengaran isu dan kenyataan di akhbar mengenai permasalahah semasa menjelaskan hutang termasuklah hutang kad kredit, hutang rumah, hutang kereta dan lain-lain lagi. Satu persoalan timbul dalam masyarakat kita ialah bagaimana menangani masalah orang yang susah atau sengaja melambatkan bayaran hutang atau lari dari hutang atau mengalami kerugian yang menyebabkan mereka tidak mampu membayarnya. Mungkin pelbagai tindakan seperti perbincangan, penambahan masa bayaran dan tindakan mahkamah atau perundangan boleh diambil oleh pihak pemberi pinjaman kepada mereka yang gagal menjelaskan hutang ini. Berbagai-bagai alasan akan diberikan untuk mengelak atau menangguhkan pembayaran hutang tersebut.

Sesungguhnya melambat-lambatkan bayaran hutang, amatlah besar sekali akibatnya dalam kehidupan manusia, bukan sahaja di dunia, bahkan juga di akhirat.

Antaranya:

1. Mereka akan ditimpa kehinaan dan hilang maruahnya.
2. Hidup mereka tidak mendapat keredhaan Allah.
3. Mereka digolongkan dalam perbuatan zalim.
4. Amalan kebajikan mereka tidak diberkati.

Mari kita lihat pendekatan Islam melalui hadis Rasulullah s.a.w yang disampaikan oleh Abu Hurairah r.a, di mana ianya menceritakan tentang kebaikan memberikan kelonggaran bagi menjelaskan hutang.

Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya: “Barang siapa yang memberikan kelonggaran waktu pada hutangnya orang fakir dan miskin atau membebaskannya, maka Allah memberikan kepadanya naungan di hari Kiamat di bawah naungan arasyNya, ketika tidak ada naungan kecuali naunganNya.” (Hadis Riwayat Imam At-Tirmidhi)

Dalam hadis yang lain pula, Rasullullah s.a.w mengecam orang-orang yang menangguhkan bayaran hutangnya sedangkan mereka itu kaya atau berkemampuan untuk menjelaskan hutang mereka. Tindakan melewatkan bayaran hutang ini seolah-olah menafikan hak orang yang memberikan pinjaman, kerana mungkin mereka memerlukan pula wang tersebut untuk tujuan kemaslahatan yang lain.

Dari Abu Hurairah r.a., Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya: “Menunda-nunda orang kaya untuk membayar hutang (memberi hak kepada orang lain) adalah zalim…” (Hadis Riwayat Imam At-Tirmidhi)

Sabda Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Penangguhan (hutang) oleh orang yang berkuasa membayar, adalah satu kezaliman, halallah maruahnya dan hukuman ke atasnya (iaitu pemberi hutang boleh mengambil tindakan ke atasnya dan maruahnya).” (Hadis Riwayat Ibnu Majah)

Terdapat juga pendapat salafussoleh yang menggalakkan segera dibayar hutang ini, iaitu dari Imam Ahmad bin Hanbal meriwayatkan daripada Abu Qilabah bahawa Abu al-Darda r.a. berkata:

“Kebajikan tidak pernah punah, dosa tidak akan dilalaikan dan orang yang berhutang sukar melelapkan mata. Jadilah dirimu seperti yang engkau kehendaki. Seberapa banyak engkau berhutang, maka sebanyak itu pula engkau harus mengembalikannya.”

(Kitab al-Zuhd)

Dalam konteks risiko perniagaan, jika seorang peniaga mengalami kerugian dan masih menanggung hutang yang banyak, maka dianjurkanlah orang ramai memberi sedekah kepada peniaga itu dengan niat untuk membantu menjelaskan hutang orang tersebut. Amalan sedekah ini boleh menyucikan harta seperti Firman Allah dalam surah at-Taubah, ayat 103 yang bermaksud, “Ambillah sedekah dari sebahagian harta mereka, dengan sedekah itu, kamu membersihkan dan mensucikan mereka.”

Anjuran bersedekah bagi membantu orang yang terdesak dalam berhutang, juga dianjurkan oleh Rasulullah s.a.w. Daripada Abu Sa’id al Khudri r.a., yang maksudnya:

Pada masa Rasulullah s.a.w, ada seorang laki-laki ditimpa musibah dalam buah-buahan yang dia perdagangkan, lalu dia mempunyai banyak hutang.

Rasulullah s.a.w. bersabda yang maksudnya: “Bersedekahlah kamu sekalian kepadanya.” Maka orang-orang pun bersedekah kepadanya, akan tetapi (yang dia terima) itu tidak mencukupi bagi menjelaskan hutangnya.

Kemudian Rasulullah s.a.w. bersabda kepada orang-orang yang memberi hutang kepadanya, “Ambillah apa yang dapat kamu ambil dan kamu tidak dapat mengambil kecuali itu (yakni hasil pengumpulan sedekah tadi).” (Hadis Riwayat Imam At-Tirmidhi)

Oleh yang demikian, Islam menganjurkan antara perkara yang wajib disegerakan di atas dunia ini, selain dari jenazah hendaklah segera dikebumikan, dan anak perempuan yang dipinang orang hendaklah segera dikahwinkan, maka hutang-piutang hendaklah segera dibayar atau dilangsaikan, untuk mengelakkan terabai membayarnya. Islam sangat mengambil berat mengenai pembayaran hutang, kerana pelunasan hutang adalah merupakan satu syarat untuk mendapat keredhaan Allah.

Seseorang yang berhutang, hendaklah berniat dalam hatinya untuk menunaikan hutang tersebut, kerana Allah akan memudahkan baginya bila dia hendak menunaikannya.

Rasulullah s.a.w. juga bersabda maksudnya: “Dan barang siapa yang berhutang, kemudian ia berniat tidak akan membayar hutangnya, lalu ia mati, maka Allah akan bertanya di hari kiamat: Apakah kamu mengira bahawa aku tidak akan menuntut hak hambaku?
Maka diambillah amal kebaikan orang itu, dan diberikan pada orang yang memberi hutang, dan jika tidak mempunyai amal kebaikan, maka dosa-dosa orang yang memberi hutang itu, diberikan pada orang-orang yang berhutang.”

Rasulullah s.a.w mengingatkan kita bahawa orang yang berhutang terikat dengan pembayaran. Dia mesti menjelaskan hutangnya semasa di dunia, kerana apabila dia sudah mati dan dia masih lagi menanggung hutang, maka rohnya akan tergantung sehinggalah dijelaskan hutang tersebut. Sepertimana sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:

“Jiwa orang-orang mukmin tergantung dengan hutangnya (iaitu tidak dihukum kepadanya selamat atau celaka) sehinggalah dia menjelaskan hutangnya.”

Abu Said r.a berkata: “Telah dibawa kepada Rasulullah s.a.w jenazah untuk disembahyangkan, lalu Nabi bertanya (maksudnya): Apakah mayat ini masih menanggung hutang?
Sahabat menjawab: Ya.
Nabi bertanya: Apakah ia ada meninggalkan harta untuk membayarnya?
Jawab Sahabat: Tidak.
Nabi bersabda: Sembahyanglah kamu kepada kawanmu itu. Nabi sendiri tidak ikut menyembahyangkannya.
Kemudian Ali bin Talib berkata: Biarlah saya yang membayar hutangnya.
Sesudah itu, Nabi segera maju menyembahyangkannya, lalu ia berkata kepada Ali: Semoga Allah membebaskan tanggunganmu (dirimu) dari api neraka, sebagaimana kamu membebaskan tanggungan saudara yang muslim itu. Tidaklah seorang muslim yang membayar hutang saudaranya, melainkan Allah akan membebaskan tanggungannya (dirinya) dari api neraka pada hari kiamat kelak.”

Sebagai kesimpulannya, janganlah menangguhkan bayaran jika kita berhutang, dan apabila mempunyai peluang untuk membayarnya. Perbuatan sengaja mengelakkan bayaran hutang, adalah tergolong dalam perbuatan orang yang zalim dan dia berhak mendapat pembalasan terhadap perbuatannya. Oleh itu, sangat-sangatlah dianjurkan orang yang berhutang untuk menjelaskan hutang dengan segera, tanpa perlu menunggu pemberi pinjaman tadi memberikan peringatan atau mengulang-ulang bertanyakan mengenai pelunasan hutang tersebut. Bersegeralah kita menunaikan janji untuk membayar hutang, jika ada; kerana sangat besarlah ganjarannya kepada mereka yang menunaikan janji ketika berhutang ini. Seperti firman Allah dalam surah Al Baqarah, ayat 177: “…orang-orang yang menepati janjinya apabila dia berjanji dan orang-orang yang sabar dalam kesempitan…, mereka itulah orang yang benar (imannya), dan mereka itulah orang-orang yang bertaqwa.”

Dr Amalina Abdullah

NO COMMENTS

LEAVE A REPLY