Memberi & Menerima Nasihat

0
263
Nasihat merupakan perkara yang sangat agung bagi setiap muslim.
Rasulullah s.a.w. menjadikannya sebagai pokok ajaran agama, ketika beliau bersabda maksudnya: “Agama itu adalah nasihat.”
Kami berkata “kepada siapa wahai Rasulullah?”
Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya: “Bagi Allah, bagi kitabNya, bagi RasulNya dan para imam kaum muslimin serta segenap kaum muslimin.”

Pendakwah adalah penggerak yang menjadi tumpuan utama masyarakat. Ciri utama pendakwah adalah sentiasa melakukan pembaikan. Seorang pendakwah tidak hanya menjadi orang yang soleh saja, tetapi harus juga menjadi seorang musleh. Oleh kerana memberi nasihat suatu yang penting, setiap muslim wajib memperhatikan dan melakukannya kepada orang lain. Manusia yang tidak akan rugi adalah sebagaimana dalam surah al-Asr, iaitu sentiasa saling menasihati dengan kebenaran dan saling menasihati dengan kesabaran. Amat penting sehingga dalam hadis yang menyatakan bahawa dua orang sahabat Nabi s.a.w. apabila bertemu, maka tidak berpisah kecuali membaca surah al-Asr kemudian mengucapkan salam untuk perpisahan. Imam Asy Syafi’i pernah mengatakan:

“Seandainya manusia mau merenungi kandungan surah Al-Asr, pasti cukuplah itu bagi kehidupan mereka.”

Riwayat dari Jarir bin Abdullah r.a. “Aku berbai’at kepada Rasulullah s.a.w. untuk menegakkan solat, menunaikan zakat, dan memberi nasihat kepada setiap muslim.”

Kebaikan umat ini terletak pada penerusan pelaksanaan amar makruf dan nahi mungkar (AMNM). Apabila AMNM tidak dilaksanakan maka akan hilanglah salah satu ciri kebaikan umat Islam ini (Ali-Imran:110).

Di antara hak seorang muslim dengan muslim lainnya adalah apabila diminta dinasihati oleh saudaranya tentang sesuatu maka ia berkewajipan memberinya. Dalam sebuah hadis maksudnya:

“Apabila salah seorang dari kamu meminta nasihat kepada saudaranya maka hendaknya memberi nasihat.”

Maksud memberi ATAU menerima nasihat

  1. Agama adalah nasihat bermakna sendi dan tiang tegak agama adalah nasihat. Tanpa saling menasihati antara umat Islam, maka agama tidak akan tertegak.
  2. Agama adalah nasihat bagi Allah: Sendi agama adalah beriman kepadaNya, tunduk dan berserah diri kepadaNya, mencintaiNya dengan beramal soleh dan mentaatiNya, menjauhi semua laranganNya serta berusaha untuk mengembalikan orang-orang yang durhaka agar bertaubat dan kembali kepadaNya.
  3. Agama adalah nasihat bagi Rasulullah s.a.w: sendi tegaknya agama adalah dengan meyakini kebenaran risalahnya, beriman dengan semua ajarannya, mentaatinya, mendukung agamanya, menghidupkan sunah-sunnahnya, berakhlak dengan akhlaknya, mencintai ahli keluarganya, sahabatnya dan para pengikutnya.
  4. Agama adalah nasihat bagi para pemimpin umat Islam: tegaknya agama dengan menyokong dan mentaati mereka dalam kebenaran, mengingatkan mereka dengan kelembutan ketika lalai, dan meluruskan mereka apabila tersalah.
  5. Agama adalah nasihat bagi orang awam: tegaknya agama hanyalah dengan memberikan kasih sayang kepada orang kecil, memperhatikan kepentingan mereka, mengajar apa yang bermanfaat bagi mereka dan menjauhkan semua hal yang membahayakan mereka.

Rasulullah s.a.w. menjadikan nasihat yang tulus kepada seorang muslim sebagai bahagian dari haknya yang harus ditunaikan oleh saudaranya sesama muslim. “Hak muslim atas muslim lainnya ada enam: Jika engkau bertemu dengannya maka ucapkanlah salam kepadanya, jika ia mengundangmu, maka penuhilah undangannya, jika ia meminta nasihat kepadamu, maka nasihatilah ia.”

Di antara tatacara memberi nasihat:

1. Niat yang benar.

Orang yang memberi nasihat berniat untuk semata-mata mengharapkan wajah Allah, serta mencari pahala dan balasan dariNya. Nasihat yang diberikan kepada kaum muslimin mengandungi pahala yang sangat agung. Rasulullah s.a.w. sendiri bersabda maksudnya: “Agama itu nasihat.”

 2. Memberikan nasihat kepada seorang muslim walaupun tidak diminta.

Jika mendapatinya hampir terjatuh ke dalam suatu kejahatan, melakukan pelanggaran syar’i, berbuat sesuatu yang memudharatkan dirinya, atau perbuatan lain, segeralah nasihatinya, walaupun ia tidak meminta. Hendaklah bersabar terhadap tindak balas negatif yang akan diterima.

3. Mencari cara terbaik dalam menyampaikan nasihat.

Ada keadaan di mana nasihat dapat diberikan secara langsung. Dalam keadaan yang lain pula, lebih diutamakan secara tidak langsung. “Mengapa ada orang yang mengatakan begini dan begitu…atau melakukan begini dan begitu…”

 4. Memberi nasihat secara umum dalam urusan agama dan dunia.

Menasihatinya dalam setiap urusan, agama ataupun dunia. Bila mana mendapati kesempatan untuk memberikan nasihat, maka janganlah menahan diri untuk melakukannya. Jika engkau lihatnya lalai dalam mengerjakan amalan agama yang wajib, maka berikanlah nasihat atas perkara itu. Jika ia kelihatan jatuh dalam perkara haram, nasihatlah kepadanya untuk meninggalkannya.

5. Merahsiakan nasihat.

Memberikan nasihat secara diam-diam, tidak diketahui oleh orang lain. Jika dibuat di hadapan orang maka hal itu dapat mendatangkan malu atau menyebabkan kerendahan diri dan kehinaan. Akan timbul keangkuhan dalam dirinya sehingga menyebabkannya menolak nasihat yang disampaikan. Jika dibuat tanpa pengetahuan yang lain, orang yang menerima nasihat tidak merasa keberatan utnuk mendengar dan berubah. Kata Imam Syaf’ie “barangsiapa yang menasihati saudaranya diam-diam maka sungguh ia telah memberikan nasihat dan membaguskannya. Sedang barangsiapa yang memberikan nasihat secara terang-terangan, maka sungguh ia telah membongkar aibnya dan merendahkannya.”

Oleh kerana aktiviti dakwah menginginkan kebaikan dalam kehidupan umat manusia, maka nasihat-menasihati dapat membuat pembaikan kepada kesalahan, menanamkan sifat kasih sayang dan kepedulian antara sesama manusia.

Dr Azizah binti Mohd Radzi
JK Pusat Wanita IKRAM  

NO COMMENTS

LEAVE A REPLY