Kemanisan Hidup dalam Rumah Tangga Muslim

0
175

Tazkirah kali ini adalah noktah-noktah penting dari ceramah ‘Kemanisan Hidup Dalam Rumah Tangga Muslim’ oleh Ustazah Maznah Daud, Ketua Wanita IKRAM pada hari Sabtu 30 Jun 2012 kepada ahli-ahli Ikram Bandaraya Johor Bahru bertempat di Sekolah Menengah Islam Hidayah Johor.

  1. Kemanisan hidup dalam rumah tangga secara khusus dan dalam kehidupan umumnya hanya boleh dirasai apabila kita mengecapi dan menghayati kemanisan iman. Menurut sepotong Hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim, Nabi s.a.w. menyatakan kemanisan iman akan dikecapi oleh seseorang yang ada padanya tiga perkara, iaitu: Allah dan Rasul lebih dicintai daripada yang lain, mencintai seseorang kerana Allah dan tidak suka kembali kepada kekufuran sebagaimana tidak sukanya masuk ke dalam api neraka.
  2. Allah dan Rasul lebih dicintai daripada yang lain. Kata-kata ini jelas menunjukkan bahawa Islam mengiktiraf wujudnya rasa cinta sesama manusia, baik antara suami dan isteri, ibu dan anak, sesama sahabat dan sebagainya. Dan tidak dinafikan juga rasa cinta terhadap sesuatu yang lain daripada manusia seperti cintakan harta benda, tempat kediaman dan lain-lain.
  3. Oleh kerana tajuk ini berkaitan dengan kemanisan hidup dalam rumah tangga, maka fokus utama adalah cinta antara suami dan isteri kerana kedua-duanya adalah rukun utama bagi sesebuah rumah tangga. Cinta antara suami dan isteri adalah satu daripada nikmat Allah kepada hamba-hambaNya yang juga merupakan tanda-tanda kekuasaan dan kesempurnaanNya. Firman Allah Ta’ala bermaksud:

    “Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.” (Ar-Rum:21)

  4. Apa yang perlu diusahakan ialah jangan sampai cinta kepada suami, cinta kepada isteri dan lain-lain mengatasi cinta kepada Allah dan RasulNya. Maka suami harus tahu kedudukannya di sisi isteri. Dan isteri juga harus tahu kedudukannya di sisi suami. Mereka bukan orang nombor satu, bukan orang yang paling utama di sisi pasangan masing-masing. Yang paling utama, di tempat pertama mestilah Allah dan Rasul. Oleh itu, kedua-duanya mestilah saling ingat mengingatkan agar diri mereka diletakkan pada kedudukan yang betul, iaitu selepas Allah dan Rasul.
  5. Mencintai seseorang kerana Allah. Asalnya perasaan cinta antara suami isteri merupakan fitrah yang telah dijadikan Allah sebagaimana dinyatakan di dalam ayat 21 surah ar-Rum di atas. Untuk mencapai kemanisan iman, suami isteri harus berusaha meng’upgrade’kan cinta mereka ke tahap cinta kerana Allah, bukan hanya sekadar cinta fitrah yang sama dimiliki oleh semua pasangan, hatta mereka yang tidak beriman.
  6. Antara ciri-ciri cinta kerana Allah ialah cinta itu dibina di atas dasar tolong menolong di dalam melaksanakan tugas dakwah, mengingati Allah, berzikir dan bertasbih sebanyak-banyaknya. Ini digambarkan di dalam doa Nabi Musa yang memohon agar Allah menjadikan suadaranya Harun sebagai pembantunya dalam melaksanakan tugas kerasulan yang diamanahkan kepadanya.

    “Dan jadikanlah bagiku, seorang penyokong dari keluargaku. Iaitu Harun saudaraku; Kuatkanlah dengan sokongannya, pendirianku, Dan jadikanlah dia turut campur bertanggungjawab dalam urusanku, Supaya kami sentiasa beribadat dan memujiMu, Dan (supaya) kami sentiasa menyebut dan mengingatiMu; Sesungguhnya Engkau adalah sedia melihat dan mengetahui hal ehwal kami. (Ta Ha: 29-35)

    Selain itu, cinta kerana Allah juga merupakan cinta yang tidak mengharap balasan selain dari cinta dan redha Allah. Diriwayatkan bahawa Nabi s.a.w. bersabda maksudnya: “Tidak berkasih sayang antara dua orang kerana Allah, melainkan yang paling afdal di sisi Allah antara keduanya, yang paling kasih kepada saudaranya.” Menurut al-Albani, Hadis ini Sahih.

  7. Tidak suka kembali kepada kekufuran sebagaimana tidak sukanya masuk ke dalam api neraka. Untuk menyelamatkan diri dari api neraka tidak ada jalan selain daripada istiqamah di atas jalan iman dan Islam. Istiqamah memerlukan kefahaman yang jelas tentang Islam serta ruang lingkupnya. Tanpa kefahaman yang jelas, seseorang yang mendakwa muslim itu mudah tergelincir dan terpengaruh dengan dakyah yang ditaburkan oleh musuh. Apabila sudah tergelincir, maka tiada jaminan ia akan selamat dari api neraka. Oleh itu, untuk mencapai kemanisan iman, suami isteri mesti selalu berusaha bersama-sama meningkatkan ilmu tentang Islam dan mendalaminya.

Dengan wujudnya tiga perkata yang disebutkan di dalam Hadis di atas, terhasillah kemanisan iman. Dan apabila kemanisan iman dinikmati, seluruh hidup ini akan terasa manisnya.

NO COMMENTS

LEAVE A REPLY