Fasa Perubahan Yang Mencabar

0
225

Assalamu’alaikum wr.wb.

Akhawat fillah yang dikasihi,

Sedia maklum bahawa kini kita sedang berada dalam satu fasa peralihan yang penuh dengan cabaran yang memerlukan iltizam dan persediaan yang sungguh-sungguh daripada kita semua. Lantaran itu amat penting bagi kita mengimbau sejarah permulaan dakwah yang telah dilalui oleh guru kita yang pertama, ikutan kita yang paling utama Nabi Muhammad s.a.w.

Baginda mula menerima wahyu perlantikan sebagai Nabi dan Rasul ketika usia mencecah 40 tahun. Mempunyai seorang isteri yang setia lagi bijaksana di samping putera puteri yang dididik dengan penuh kasih sayang, ditanamkan akhlak mulia dan terpuji.
Apa yang dapat kita fahami dari situasi ini ialah seorang yang akan dipilih dan dilantik memikul satu amanah besar dan berat perlu berada dalam satu lingkungan keluarga yang utuh yang dapat memberikan ketenangan hati dan keteguhan jiwa dalam mengharungi perjuangan melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan.

Allah s.w.t telah memilih satu tempat daripada permukaan bumi yang terbentang luas ini untuk menjadi titik permulaan turunnya wahyu, detik permulaan perhubungan antara langit dengan bumi, antara Tuhan yang mencipta dan menguasai alam semesta dengan makhluk-Nya yang bernama manusia. Pemilihan tempat yang jauh dan terpencil dari hiruk pikuk kesibukan kota, tempat yang tidak mempunyai sebarang kemudahan dan tidak dilengkapi dengan apa-apa prasarana. Semua ini mengisyaratkan bahawa dakwah kepada Allah tidak seharusnya meletakkan persiapan material dan kebendaan sebagai tempat pergantungan yang utama.

Dakwah tegak di atas kekuatan aqidah dan fikrah yang dibawa.

Apa lagi bila dikaitkan dengan wahyu pertama yang dibawa oleh al-Amin Jibril a.s. yang mengandungi perintah supaya membaca dengan Nama Tuhan yang menciptakan. Justeru, pendakwah mesti mengisi minda dengan ilmu di samping mengisi rohani dengan iman.

Seterusnya turun perintah agar mendirikan solat. Jibril a.s. membawa Nabi s.a.w. ke padang pasir yang luas, lalu diketuk bumi dengan sayapnya dan airpun memancut keluar. Dia mengajar Nabi s.a.w. berwuduk dan solat. Pada permulaan sebelum difardhukan lima waktu adalah solat dua rakaat pagi dan dua rakaat petang. Jadi solat, dengan segala kelebihan dan keistimewaannya adalah bekalan paling utama dalam mengharungi jalan dakwah.

Diriwayatkan bahawa surah-surah yang paling awal diturunkan selepas wahyu pertama adalah al-Muddaththir yang mengandungi perintah supaya berdakwah, al-Muzzammil yang memerintahkan supaya mendirikan solat di waktu malam dan al-Fatihah yang menjelaskan manhaj Allah Yang Maha Penyayang dalam bentuknya yang lenkap dan menyeluruh sabagai rahmat bagi semesta alam.

Akhawat fillah yang dikasihi

Itulah persediaan dan bekalan yang mesti dilaksanakan dengan sungguh-sungguh. Mantapkan institusi keluarga kita, bina hubungan yang seutuhnya dengan Allah s.w.t. melalui solat dan ibadah-ibadah lain, mantapkan fikrah, kuasai risalah dengan membaca, mengaktifkan usrah, daurah dan wasail-wasail tarbiah yang lain, dan lancarkan dakwah ke serata penjuru dan daerah dengan mengguna pendekatan yang telah kita pelajari daripada sirah.

Moga-moga dengan itu Allah akan sentiasa bersama dengan kita, memandu setiap langkah perjalanan kita sehingga ke penghujung usia Dia menjemput kita di atas jalan dakwah yang penuh barakah ini, insyaAllah.

Ukhtukum fillah
Ustazah Maznah binti Daud
30 May 2010/14 J.Akhir 1432

NO COMMENTS

LEAVE A REPLY